Tuesday, August 20, 2019

Dendang Perantau di bumi Afrika Selatan

 
 Peta menunjukkan kedudukan Afrika Selatan dalam benua Afrika

Africa Selatan , sebuah negara yang selama ini hanya dalam imaginasi. Hanya dilihat di media elektronik dan dibaca di media cetak. Tidak pernah saya terbayang akan menjejakkan kaki ke sini. Pelawaan rakan untuk bercuti ke sini saya persetujui tanpa berfikir panjang memandangkan kebetulan pada masa yang sama adalah cuti sekolah.
Cape Town dari pandangan udara.
" Perjalanan jauh tak ku rasa,
  Kerna hati ku melonjak sama,
  Ingin berjumpa sanak saudara,
  Yang selalu bermain di mata”.

Mungkin bait-bait lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman sudah cukup untuk menggambarkan perasaan hati di kala ini. Walaupun tidak mempunyai sanak-saudara di bumi Afrika Selatan, namun keterujaan untuk merasai pengalaman baru menyambut Aidil Adha di perantauan begitu terasa.

Kami tiba di Cape Town International Airport pada hari Sabtu, sehari sebelum Aidil Adha diraikan. Oleh kerana kami tiba pada pukul 9.25 pagi dan daftar masuk hotel hanya boleh dilakukan pada pukul 2.00 petang, kami dibawa ke Flea Market Bazaar untuk memenuhi masa senggang di samping melihat sendiri persediaan masyarakat Islam tempatan membeli belah di saat-saat akhir.

Keadaan trafik jalan raya menghala ke bazar agak sesak dengan kereta dan manusia. Suasana pasar meriah dengan laungan takbir dari corong-corong radio. Kelihatan gerai-gerai menjual keperluan raya seperti jubah, pelbagai jenis kacang, manisan, buahan kering, makanan ringan, tudung ala turban dan banyak lagi. Sesetengahnya menawarkan pada harga istimewa. Sungguh meriah!. Sama seperti suasana bazar di Malaysia menjelang hari perayaan. Ramai yang bertanyakan asal kami memandangkan cara pemakaian dan rupa fizikal yang agak berbeza dengan mereka. Dan apabila diberitahu dari Malaysia, respon mereka, “Ahhh... Malaysia”. Sungguh mesra sekali layanan mereka bila mengetahui kami dari Malaysia. Di sini saya mencuba merasa sejenis masakan tempatan yang dipanggil Chilly Bites, 2 biji dengan harga 5 Rand (RM 1.70). Ramai yang berbaris untuk membelinya. Rasanya seperti cekodok yang dicampur dengan potongan dadu kentang, serbuk kari dan serbuk cili. Adunan tepungnya agak pedas dan lembut di bahagian dalam, rangup di bahagian luar. Harga makanannya agak murah berbanding Malaysia. Sepek strawberi dijual dengan harga 5 Rand. Untuk hari ni, saya cuma membelanjakan 100 Rand (RM 27.00) untuk makan tengahari yang berupa set kalamari dan kentang, Chilly Bites, Oren (6 biji), air mineral 500 ml dan kacang (bagi tupai makan). Bagi saya, ini memang sangat murah!.
( RM1 = ZAR 3.6623 ). 
Sesak dengan penduduk tempatan yang membuat persiapan akhir Aidil Adha.
 Beratur menunggu Chilly Bites

Mencuba manisan yang dijual dengan harga 40 Rand

10 Zulhijjah (10 Ogos)- Hari Raya Aidil Adha. Saya dan rakan-rakan siap berbaju raya bersarapan di restoran hotel. Tetamu hotel warga asing yang sedang bersarapan memandang kami semacam. Mungkin tergaman dengan kecantikan dan ketampanan kami memakai pakaian tradisi. Kami perlu bergerak awal ke masjid untuk mempastikan ada tempat untuk kami di dalam masjid. Dalam keadaan sejuk, suhu sekitar belas-belas darjah celsius, diiringi dengan angin, tak sanggup rasanya solat di luar masjid.
Video suasana selepas solat sunat Aidil Adha

Ayu berbaju kurung di luar masjid Bo-Kaap Cape Malay

Sejujurnya, menyambut Aidil Adha di sini adalah pengalaman baru buat saya. Apa yang menariknya adalah saya tidak berasa berada di dunia asing. Sebaliknya, saya berada dekat dengan keluarga dan meraikannya bersama keluarga. Jemaah perempuan yang turut hadir di Masjid Bo-Kaap Cape Malay begitu mengalu-alukan kehadiran kami. Sebelum dan seusai mendirikan solat sunat Aidil Adha, kami banyak bergambar mengabdikan gambar bersama. Sambutannya tidak banyak bezanya dengan sambutan di tanah air. Cuma kali ini, saya tidak dapat menyaksikan aktiviti korban dan mengagihkan sendiri daging korban kepada golongan yang telah dikenalpasti sebagaimana yang telah saya lakukan tahun lepas semasa merayakannya di Mongolia. Saya diberitahu, di sini aktiviti korban dibuat di ladang ternak atau tempat yang dikhaskan.

Takkan baju kurung hilang di dunia

Sekembalinya ke hotel, Hotel Capetonian kami menjamu selera dengan juadah yang dibawa dari Malaysia. Ada yang membawa nasi impit, kari ayam, rendang, tart nenas, serunding, wajid dan kuih muih. Sambil makan, lagu raya turut dipasang. Haha. Kami turut mempelawa pemandu pelancong kami makan bersama. Dari respon mereka, ternyata mereka menyukai makanan Malaysia.

Pemandangan yang indah dan mendamaikan di Maiden's Cove

 Menyambut Hari Raya Aidil Adha di sini ibarat kenangan manis 2-dalam-1 yang akan terpahat dalam ingatan, iaitu meraikan salah satu hari kebesaran bagi orang Islam di samping melancong.

 Bergambar berlatarbelakangkan Mbombela Stadium yang digunakan semasa Fifa World Cup 2010

Sesungguhnya, seminggu berada di sini memang tidak akan cukup. Banyak lagi budaya masyarakat Afrika Selatan yang perlu diterokai. Untuk pengetahuan anda, di Cape Town sahaja terdapat 19 buah masjid. Yang paling saya kagum ialah di sini ramai Muslim dan anda tidak akan ragu-ragu untuk mendapatkan makanan halal.

Bergambar berlatarbelakangkan Table Mountain yang dilitupi awan

South Africa- I will be back for more. Visiting you once is never enough!. 😘

Fefeeling Kajol kat Signal Hill

2 comments:

sun ah said...

Cemana diorang tidak tingu semacam....hijau terang you!! Ngan beg merrah gittew... Paling menyerlah!��

Si Yoyop Bah... said...

sun ah: Apa boleh buat sejuk, aku bawa la kasut bertutup. Asalnya aku nak bawa kasut bling2 aku, yang separuh bertutup. Dan plan nk tinggalkan sebelah kat sana...hihihi.